Assalamualaikum ...
Ketika kita letih dan tidak bermaya, bangkitlah dan teruskan derapan langkah. Gapailah impian walau sesukar manapun cabaran yang menghalang . Hidup tidak selalunya indah. Ada masa kita akan gembira dan ada masa kita tersangatlah sedih. Ujian demi ujian yang menimpa diri. Saat itu, kita hanya mampu berdoa. Berdoa dan terus berdoa.
Kadangkala apa yang kita harapkan tidak pernah kita dapat. Mengapa? Dan kita mula berputus asa. Adakah kita tidak mahu lagi mencuba untuk jadi yang terbaik? Bukankah Allah tidak suka jika hambaNya berputus asa. Setelah kita penat berusaha, dan saat itu kita tidak juga dapat apa yang kita inginkan, barulah kita boleh mengatakan bahawa "takdir Allah adalah yang terbaik.." Telah tertulis semuanya. Telah tertulis suratan nasib diri kita. Derita buat diri ada hikmahnya. Jangan sesekali berprasangka buruk terhadap Allah. Allah mempunyai rancangan yang baik untuk hambaNya yang selalu berharap dan percaya kepadaNya.
Dalam kesabaran menahan segala dugaan, tertumpah juga air mata ke pipi. Betapa peritnya dugaan hidup ini. Ketika kita tidak mempunyai harapan dan semangat, Allah tahu betapa kau telah cuba sedaya upaya. Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, Allah telah mengira titisan air matamu. Menangislah jika kamu rasa dengan cara itu kamu boleh berasa tenang dan lega. Mengadulah semua kepada Allah. Allah Maha Mendengar. Allah mendengar rintihan hambaNya. Kuatkan semangat walau apa jua badai yang melanda. Yakin Allah sentiasa ada disisi.
No comments:
Post a Comment